PDF Print E-mail

Saham Asdion Catat Premium 46.5 Sen

14-01-2005

YAP (kiri) menerima dokumen penyenaraian daripada Ketua Eksekutif
Bursa Malaysia, Yusli Mohamed Yusuff selepas
penyenaraian saham Asdion, semalam.

Oleh Anida Salwani Abdul Hadi

14 January 2005 - SAHAM syarikat baru yang disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini mendapat sambutan di kalangan pelabur dengan mencatatkan premium tinggi termasuk yang terbaru, Asdion Berhad (Asdion) yang merekodkan premium 46.5 sen pada awal dagangan.

Asdion yang disenaraikan di Papan Mesdaq Bursa Malaysia dibuka pada harga 96.5 sen berbanding harga tawaran 50 sen seunit dengan 8,120 lot saham diniagakan.

Saham Asdion, syarikat keempat yang disenaraikan di Bursa Malaysia minggu ini, ditutup pada paras 77.5 sen atau 27.5 sen lebih tinggi berbanding harga tawaran dengan sejumlah 173,133 lot bertukar tangan. Ia juga kaunter ketiga paling aktif diurusniagakan semalam.

Tiga syarikat yang disenaraikan sejak Isnin lalu juga menunjukkan aliran premium tinggi pada awal dagangan.

Efficient e-Solution Berhad (Efficient), yang disenaraikan di Papan Mesdaq, Isnin lalu, mencatatkan premium 35 sen manakala Ecofuture Berhad (Ecofuture), pakar teknologi biojisim sawit mencatat premium awal 15 sen, apabila disenaraikan Selasa lalu.

HeveaBoard Berhad (HeveaBoard) yang disenaraikan kelmarin di Papan Utama mencatatkan premium awal tertinggi, iaitu 88 sen.

"Pencapaian itu di luar dugaan kami. Saya tidak jangka ia akan mencapai tahap sedemikian," kata Pengarah Urusan Kumpulan Asdion, Yap Tai Tee pada sidang media selepas majlis penyenaraian saham syarikatnya ke Papan Mesdaq.

Asdion yang menawarkan perisian penyelesaian bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedang berunding untuk menyediakan penyelesaian kepada penganjur Olimpik 2008 di Beijing.

"Kami melihat acara sukan antarabangsa itu sebagai peluang keemasan bagi melebarkan perniagaan, terutama Kerajaan China menyediakan peruntukan kira-kira 100 bilion renminbi untuk penganjuran sukan itu.

"Jika kami dapat satu peratus daripadanya, itu sudah memadai," katanya sambil menambah syarikatnya juga sedang berunding dengan beberapa firma swasta di negara yang paling ramai penduduk itu.

Beliau berkata, selain China, Asdion yang berusia 12 tahun mahu mengembangkan jenama Malaysia ke Singapura.

"Perniagaan berasaskan teknologi maklumat kini berkembang pesat dan kami berharap dapat menjalinkan usaha sama dengan pendahulu pasaran bagi mengukuhkan kedudukan syarikat," katanya.

Yap berkata, Asdion juga meninjau peluang meluaskan perniagaan dalam bidang perhotelan, pelancongan, pembekalan, perniagaan runcit dan logistik.

Asdion turut menawarkan khidmat jururunding analisis keperluan pengguna, pelaksanaan dan sokongan perisian penyelesaian selain penyelenggaraannya.


Source: bharian.com.my/m/BHarian/Friday/
Ekonomi/20050114085034/Article