PDF Print E-mail

Langkah Asdion Kembali Ke Malaysia Menguntungkan

31-12-2004

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Perumpamaan "setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya kembali ke belakang kerbau juga" memang tepat bagi menyimpulkan keputusan Asdion Bhd. (AB), pembekal perisian bersepadu bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana, berpindah ke Malaysia.

AB milik rakyat Malaysia yang beroperasi di Singapura seperti bangau yang pulang ke belakang kerbau, Malaysia, mengambil langkah yang tepat kerana perpindahan ke negara asal mereka menghasilkan faedah kepada syarikat anak-anak Malaysia itu setelah berpindah dari Singapura pada tahun 2002.

Pengarah Urusannya, Yap Tai Tee, berkata penempatan semula ibu pejabat syarikat itu dicetuskan oleh kewujudan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menyediakan infrastruktur dan insentif-insentif yang baik bagi syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

AB memindahkan ibu pejabat dan menubuhkan kemudahan-kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.

"Lagipun, kami semua rakyat Malaysia, jadi itu adalah peluang yang baik bagi kami untuk balik," Yap berkata di dalam satu wawancara dengan Bernama.

AB, yang dijadual untuk disenaraikan di pasaran Mesdaq Bursa Malaysia pada 13 Januari kini boleh mengambil peluang daripada pelbagai galakan fiskal dan kewangan yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat bertaraf MSC, setelah memperoleh taraf itu bulan Mac lalu, kata Yap.

Hasil AB telah hampir mencapai sekali ganda dalam masa dua tahun kepada RM4.138 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2003 dari RM2.540 juta pada tahun 2001.

Pasaran Singapura telah menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada hasil syarikat itu tahun lalu, tetapi bagi enam bulan tahun kewangan semasa, Malaysia mengambil alih kedudukan itu, menyumbang 59 peratus daripada keuntungan AB sebanyak RM2.054 juta.

Bagi penyenaraian di Mesdaq, syarikat itu merancang untuk menerbitkan terbitan awam sebanyak 12 juta saham biasa baru RM0.10 sesaham pada harga terbitan RM0.50 setiap saham biasa yang boleh dibayar dalam permohonan penuh.

Terbitan awam itu akan mengandungi sejuta saham biasa baru RM0.10 sesaham yang dikhaskan bagi pengarah-pengarah dan pekerja-pekerja AB yang layak, sembilan juta saham biasa baru RM0.10 setiap saham secara penempatan peribadi kepada pelabur-pelabur yang dikenal pasti dan dua juta saham biasa baru berharga RM0.10 setiap saham bagi pelabur-pelabur awam Malaysia.

Berasaskan kepada harga terbitan itu, AB menjangka jumlah perolehan sebanyak RM7.347 juta, yang mana RM1.2 juta akan digunakan sebagai perbelanjaan modal, RM2.2 juta untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM2.747 juta bagi modal kerja dan RM1.2 juta perbelanjaan penyenaraian.

Yap berkata bahawa dengan penyenaraian itu, AB menjangka untuk meluaskan dan menembusi pasaran-pasaran baru di Asia Pasifik.

"AB mahu diiktiraf dan menubuhkan sebuah pusat penyelesaian sehenti dan pembekal ulung penyelesaian bersepadu canggih di Asia Pasifik," kata beliau.

Katanya, menurut laporan penyelidikan pasaran bebas oleh IDC Market Research (M) Sdn. Bhd., pasaran aplikasi Asean dijangka mencapai hasil AS$729.9 juta (RM2.77 bilion), manakala aplikasi sokongan syarikat yang mana kumpulan itu berkepakaran, pertumbuhan pasaran tahunan digabungkan dijangka meningkat kepada 21.2 peratus bagi mencecah AS$2.4 bilion (RM9.12 bilion) pada tahun 2008.

Tambahnya bahawa ekonomi berasaskan perkhidmatan adalah amat luas dan AB adalah tertumpu kepada sektor-sektor seperti perhotelan, pengurusan rangkaian bekalan, runcit dan pengembaraan.

AB telahpun menyelesaikan fasa I kemudahan-kemudahannya di Malaysia, yang membabitkan pembinaan infrastruktur dan sedang menyiapkan fasa II, mengandungi penyelidikan pasaran, pembangunan prototaip dan seumpamanya.

"Operasi sepenuhnya akan bermula dalam tahun 2005. Pejabat-pejabat kawasan AB di Singapura dan China akan menjadi pejabat jualan langsung dan pemasaran kami," kata Yap.

Di samping berusaha meletakkan dirinya sebagai peneraju di pasaran Asia Pasifik, AB juga bertujuan memajukan produk-produk perisian terbaik dan boleh dipercayai bagi menampung permintaan yang mencabar di dalam pasaran.


Source: utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0101&pub
=utusan_malaysia&sec=korporat&pg=ko_07.htm&arc=hive